Powered By Blogger

Tuesday, February 15, 2011

Maulidur Rasul : Lahirnya Pemimpin

Bulan Rabiulawal bermaksud bulan dimana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah.
Go to fullsize image

Maka nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, pemerintahan Rasulullah saw telah mengekalkan nama Rabiulawal ini sehinggalah sekarang.
Banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiulawal ini dan diantaranya ialah Maulidur Rasul.
"Maulid" bermaksud kelahiran. Maka Maulidur Rasul mengutamakan peristiwa kelahiran junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw. Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa nabi lahir pada 12 Rabiulawal tahun gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidur Rasul pada 12 Rabiulawal di setiap tahun sehinggalah sekarang.
Seperti kelaziman tahunan, umat Islam di Malaysia akan menyambut hari sempena keputraan Rasulullah saw dengan mengadakan berbagai aktiviti dalam acara sambutan Maulidur Rasul. Kerajaan Malaysia mengisyhtiharkan 12 Rabiulawal setiap tahun adalah cuti umum. Diantara acara-acara dalam sambutan Maulidur Rasul ialah Perarakan, Syarahan, Forum, Marhaban dan Jamuan di peringkat kampung sehinggalah ke peringkat kebangsaan.
Objektif diadakan sambutan Maulidur Rasul ialah untuk mengembalikan ingatan kita umat akhir zaman terhadap junjungan besar kita Muhammad Rasulullah saw. Dengan mengingatinya akan menambahkan lagi perasaan cinta kasih kepadanya serta mengenang, menghargai serta mengambil iktibar kisah suka duka perjuangannya. Walaupun sambutan Maulidur Rasul ini adalah satu adat sahaja tapi ia adalah adat yang memeberikan ruang untuk kita ambil pelajaran dan tingkatkan ibadah kita dimasa kini.
Mari kita sama-sama renungkan. Mengapa disebut Maulidur Rasul, bukan Maulud Muhammad atau atas nama yang diberikan Ibu Baginda , Maulud Ahmad bin Abdullah?
Ini menunjukkan begitu kuat dan teguhnya ingatan kasih umat Islam kepada Baginda, meskipun jarak masa selama itu boleh dianggap sudah terlalu jauh.
Mengapa Muhammad saw dianggap paling mulia sehingga diletakkan nama Baginda di sebelah nama Allah sebagai hiasan di dinding-dinding?
Banyak lagi detik penting sejarah yang berlaku di dalam bulan Rabiulawal yang menjadi penyebab diraikan sungguh Rabiulawal ini. Antaranya lagi, perlantikan Nabi menjadi Rasul. Dibulan Rabiulawal inilah Nabi saw diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi saw berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.
Selain itu, hijrah tarikh adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika itu di sebut Yatsrib. Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiulawal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.
Wafatnya junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw juga pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah ra dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.
Oleh itu mari kita kenang perlaksanaan Muhammad saw dari lahirnya, 570M hingga wafat pada 632M.
Secara ringkasnya Baginda lahir dikalangan pembesar-pembesar Mekah, walaupun Ayah Baginda Abdullah meninggal sewaktu Baginda dalam kandungan, tetapi Baginda disambut oleh Datuk iaitu Abdul Mutalib. Seorang pemimpin di Mekah yang berpengaruh tinggi dan merupakan dari golongan pahlawan Quraisy.
Beginda lahir di zaman berlakunya serangan oleh tentera suku kaum Nasrani yang dipimpin oleh Abrahah yang benar-benar mahu hancurkan Mekah atas sebab-sebab dengki.
6 tahun Ibu Aminah dengan bantuan sahabat mengasuh Muhammad saw dan pernah dibawa melihat makam Ayah Baginda, Abdullah bin Abdul Muthalib. Setelah ibunya meninggal, Baginda dijaga oleh Datuknya, Abdul Muthalib. Apabila Datuknya meninggal, baginda dijaga oleh Ayah Saudaranya, Abu Talib.
Ketika inilah baginda sering kali membantu mengembala kambing-kambing bapa saudaranya di sekitar Mekah dan kerap menemani bapa saudaranya dalam urusan perdagangan ke Syam (Syria).
Dalam masa remajanya, Muhammad saw percaya sepenuhnya dengan keesaan Allah. Baginda hidup dengan cara amat sederhana dan membenci sifat-sifat angkuh dan bongkak. Baginda menyayangi orang-orang miskin, para janda dan anak-anak yatim serta berkongsi penderitaan mereka dengan berusaha menolong mereka. Baginda juga menghindari semua kejahatan yang menjadi amalan biasa di kalangan para belia pada masa itu seperti berjudi, meminum minuman keras, berkelakuan kasar dan lain-lain, sehingga beliau dikenali sebagai As Saadiq (yang benar) dan Al Amin (yang amanah). Baginda sentiasa dipercayai sebagai orang tengah kepada dua pihak yang bertelingkah di kampung halamannya di Mekah.
Baginda juga terlibat mambantu dalam peperangan Harbul Fijar dalam usia yang amat muda iaitu 15 tahun yang menunjukkan betapa besarnya jiwa Muhammad saw sewaktu mudanya lagi.
Ketika berusia kira-kira 25 tahun, ayah saudara baginda menyarankan baginda untuk bekerja dengan kafilah (rombongan perniagaan) yang dimiliki oleh seorang janda yang bernama Khadijah. Baginda diterima bekerja dan bertanggungjawab terhadap pelayaran ke Syam (Syria). Baginda mengelolakan urusniaga itu dengan penuh bijaksana dan pulang dengan keuntungan luar biasa.
Khadijah begitu tertarik dengan kejujuran dan watak peribadinya yang mendorong beliau untuk menawarkan diri untuk mengahwini baginda. Baginda menerima lamarannya dan perkahwinan mereka adalah bahagia. Mereka dikurniakan 7 orang anak (3 lelaki dan 4 perempuan) tetapi ketiga-tiga anak lelaki mereka, Qasim, Abdullah dan Ibrahim meninggal semasa kecil. Manakala anak perempuan baginda ialah Ruqayyah, Zainab, Ummu Kalsum dan Fatimah az-Zahra.
Macam-macam cabaran yang telah Muhammad saw lalui memandangkan telah dilahirkan di tengah-tengah masyarakat jahiliyah. Ia sungguh menyedihkan hatinya sehingga beliau kerapkali ke Gua Hira, sebuah gua bukit dekat Makkah, yang kemudian dikenali sebgai Jabal An Nur untuk memikirkan cara untuk mengatasi gejala yang dihadapi masyarakatnya. Di sinilah baginda sering berfikir dengan mendalam, memohon kepada Allah supaya dinampakkan jalan membawa masyarakatnya kembali mendapat kesejateraan.
Pada suatu malam, ketika baginda sedang bertafakur di Gua Hira, Malaikat Jibril mendatangi Muhammad. Jibril membangkitkannya dan menyampaikan wahyu Allah. Ketika itu baginda berusia 40 tahun. Wahyu itu turun kepada baginda dari semasa ke semasa dalam jangka masa 23 tahun. Siri wahyu ini telah diturunkan menurut panduan yang diberikan Rasulullah dan dikumpulkan dalam buku bernama Al-Quran (bacaan). Kebanyakkan ayat-ayatnya mempunyai erti yang jelas. Setiap wahyu itu Rasulullah sendiri lalui dengan tindakan yang telah Allah tetapkan iaitu Sunnah. Al-Quran dan al Sunnah digabungkan bersama untuk menjadi panduan dan cara hidup mereka yang menyerahkan diri kepada Allah.
Jadi kidah serba ringkas diatas menunjukkan Baginda tidak berputus asa bergiat sejak muda walaupun diberi banyak cabaran dan menunjukkan bahawa Beginda benar-benar mengasihi Allah dan umat-umatnya supaya benar-benar dapat kecapi keSejahteraan yang Allah janjikan.
Jadi dilaksanakan oleh Muhammad saw atas dasar yakin, yakni Iman.
Jika di tanyakan apakah kita benar-benar mencintai dan mengasihi Allah? Semua pasti akan menjawab bahawa kami kasih dan cinta Allah. Tapi persoalannya, adakah cukup atau memadai seseorang itu dikatakan mengasihi Allah hanya semata-mata berdasarkan kepada pengakuan lidahnya sahaja.
Jadi benarlah, ita kena benar-benar yakin dahulu baru akan kita benar-benar laksanakan.
Iman, dalam pengertian yang diberikan oleh ahli bijak pandai di Malaysia ini ialah mengikrarkan dengan lidah, membenarkan dengan hati, serta melaksanakan dengan anggota. Maka orang-orang yang benar-benar mencintai Allah hendaklah membenarkan segala yang Allah perintahkan.
Keimanan yang ditunjukkan oleh Saidina Abu bakar As-Siddiq ketika berlaku peristiwa Isra dan Mikraj apabila musuh, iaitu orang-orang yang benci pada kedamaian, menentang secara terang-terangan dan, ada juga kalangan orang Islam yang ragu akan kebenaran peristiwa itu, tetapi Saidina Abu Bakar dengan berani menyatakan apa yang diceritakan Nabi Muhammad adalah benar belaka.
Maka, contoh keimanan yang ditunjukkan Saidina Abu Bakar terhadap apa yang Muhammad saw sampaikan mengenai Allah walaupun Muhammad itu hanyalah seorang manusia.
Jadi itu kisah keimanan umat yang terdahulu, yang dekat dan satu zaman dengan Muhammad saw yang membawa berita dan tentang Allah. Bagaimana keimanan kita 1400 tahun yang lepas ini? Mampukah kita menganggap diri kita Iman?
Sebagai seorang pemimpin Rasulullah saw melayani manusia secara adil tanpa membezakan antara satu sama lain. Manusia pada pandangan Rasulullah saw seumpama gigi-gigi sikat tidak membezakan antara kaya dan miskin, mulia atau hina dan merdeka atau hamba.
Baginda seorang yang rajin bekerja. Terdapat banyak kata-kata yang menceritakan penglibatan Baginda dalam melaksanakan berbagai pekerjaan bersama para sahabat sekalipun Baginda berada pada kedudukan yang tinggi lagi dihormati.
Kisah kecil, Baginda bersama-sama para sahabat telah bekerja bertungkus-lumus mengangkat batu-batu untuk menyiapkan pembinaan masjid di Madinah.
Jadi padanlah, kita sambut dan agungkan Muhammad saw, lebih dari umat manusia yang lain. Baginda sangat mesra dan dekat dengan rakyat. Dianggap semua kerja dilapisan mana-mana pun mulia, selagi objektif untuk mendapat keSejahteraan berjaya dicapai untuk semua.
Amat malang jika apa yang ditunjukkan oleh Baginda dibaikan oleh umat Islam, tetapi dikutip dan diamalkan oleh orang bukan Islam yang senantiasa menkaji sejarah hidup Baginda saw. Apakah erti kita mendabik dada sambil mengaku cinta dan kasihkan Allah sedangkan segala perbuatan Muhammad saw tidak diambil peduli dan tidak diamalkan dalam kehidupan.
Di sini kami berpesan, kepada semua, kalau betul kita menganggap diri kita pemimpin, atau mahu jadi pemimpin, ambil pelajaran dari sirah hidup perjalanan insan bernama Ahmad bin Abdullah itu.
Secara kesimpulannya, mengasihi Allah adalah satu kepentingan atas umat Islam. Kecintaan kepada Allah mestilah berlandaskan Iman. Kita juga perlu bertekad membina diri, ahli keluarga dan anggota masyarakat menjadi umat yang benar-benar mengasihi dan mencintai Allah.

No comments:

Post a Comment